Gagah hulubalang memegang panji
Dayang menari bertingkah irama
Adat bertunang meterai janji
Menanti hari disanding bersama
Setelah berjaya merisik dan melamar, barulah adat bertunang akan dilaksanakan. Adat bertunang bertujuan mendapatkan kata janji untuk menyatukan kedua mempelai. Dengan terlaksananya pertunangan di antara kedua-dua mempelai, maka ia bermakna kedua-duanya juga tidak boleh menerima dan meminang orang lain.
Sekirannya pertunangan ingin diputuskan, terdapat beberapa perkara yang akan diambil kira. Jika diputuskan oleh pihak lelaki, cincin tunang dan barangan hantaran akan dikira hadiah dan pihak perempuian tidak perlu mengembalikannya. Manakala sekiranya pertunangan itu diputuskan oleh pihak perempuan, pihak perempuan perlu memulangkan semua cincin dan barang hantaran, ada kalanya perlu dipulangkan sebanyak dua kali ganda daripada nilai asal.
Dari segi budaya, tak banyak pertunangan yang diputuskan oleh pihak perempuan. Perkara ini akan dianggap sangat mengaibkan bagi pihak lelaki. Justeru itu, pengembalian hantaran sebanyak dua kali ganda itu dirasakan memadai dengan aib yang ditanggung.
Adat bertunang ini didahulukan dengan tepak sirih sebagai kepala adat, sirih junjung, cincin tunang dan barangan hantaran lain seperti sepasangan persalinan dari kain yang bermutu, makanan, manisan dan lain-lain. Secara lazimnya, jumlah hantaran akan berjumlah ganjil dan pihak perempuan akan membalas dengan jumlah yang lebih berbanding pihak lelaki. Contohnya 7 hantaran dari pihak lelaki akan berbalas 9 hantaran dari pihak perempuan dan yang lain seumpamanya.
Pihak lelaki akan datang dengan dianggotai oleh orang tua-tua bersama-sama barangan hantaran. Seperti biasa, tepak sirih akan dihulurkan.
Topik perbincangan semasa adat pertunangan akan berkisar pada tempoh pertunangan berlangsung selama satu ke dua tahun. Namun tempoh masa tidak tepat dan ia boleh diubah untuk lebih cepat atau lebih lama.
Juga dibincangkan di dalam adat pertunangan ialah menentukan tarikh untuk upacara selanjutnya seperti adat pernikahan, majlis perkahwinan, adat bertandang dan jumlah duit hantaran. Pihak pengantin lelaki juga akan menetapkan tarikh untuk menghantar duit belanja kepada pihak perempuan.
Setelah berbasi-basa, berbalas pantun dan kata putus dibuat, maka pihak lelaki yang diwakili oleh seorang perempuan (kalau kampung aku, bakal mertua) akan menyarungkan cincin ke jari bakal pengantin perempuan sebagai tanda pertunangan ini bermula. Dengan adat ini, kedua-dua pihak sudah terikat dengan satu perjanjian tidak rasmi antara mereka.
Setelah semua berpuas hati dengan kata putus yang diambil dan hantaran telah bertukar tangan, pihak lelaki akan meminta diri untuk pulang. Di akhir adat bertunang ini, satu majlis makan yang ringkas akan diadakan untuk meraikan adat bertunang ini Majlis akan diakhiri dengan doa selamat untuk mendoakan kesejahteraan kedua-dua mempelai (kebiasaannya, tarikh untuk adat bertunang ini telah ditetapkan semasa adat melamar, dan pihak lelaki akan memaklumkan jumlah anggota rombongan peminangan dan juga waktu dijangka sampai bagi membolehkan pihak perempuan membuat persiapan).
Pantun berikut boleh digunakan oleh wakil kedua-dua belah pihak dalam adat bertunang.
Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai ke mari?
Sudah lama langsatnya condong ,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
Baru sekarang diizinkan Allah.
Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
Kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat di hati.
Singgah berenang di persiraman,
Mayang terendam di dalam tasik.
Kumbang merindu bunga di taman,
Bintang merindu Cenderawasih.
Ikan sepat di dalam sampan,
Orang membawa ke pinggir kota.
Besar hajat tuan menyimpan,
Baiklah nyata di dalam kata.
Panjat- panjat si pohon ara,
Nampak cantik di tepi laman.
Besarnya hajat tidak terkira,
Hendak memetik bunga di taman.
Senyum menguntum memakai kebaya,
Gadis sunti menjual kalungan.
Bunga nan sekuntum belum berpunya,
Menjadi penyeri di taman larangan.
Dari sumbu terbit apinya,
menjadi asap dan juga jelaga.
Jika begitu akan adanya,
Izinkan kita memetik menjaga.
Baik-baik kalau berhuma,
Jangan sampai lalang sepekan,
Hajat yang baik kami terima,
Dalam adat kami serahkan.
Kalau gugur buah setandan,
Sampai ke tanah baru tergolek,
Kami bersyukur kepada tuhan,
Datang kami disambut baik.
Ulasan dan Pengajaran :
Kebanyakan masyarakat zaman sekarang melakukan adat pertunangan terus kepada tujuannya. Adat seperti ini dilihat hanya digunakan masyarakat lama yang sangat berpegang pada adat. Saya berasa bangga sekiranya, penggunaan pantun dalam proses meminang terus dilaksanakan sehingga sekarang. Hal ini kerana banyak kiasan dan maksud tersurat serta tersirat yang ingin disampaikan melalui susunan ayat dalam rangkap yang indah. Oleh itu, penggunaan pantun dilihat sesuatu yang menarik dan dapat mengeratkan lagi silaturrahim kerana bahasanya yang begitu indah.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.