Pages

Thursday, 4 April 2013

#25 Wanita, Perempuan Dan Betina ::


Wanita, Perempuan dan Betina???


Makcik Aminah : Teruk betoila perangai perempuan tuh. Suka sangat buruk-burukkan owang lain.
Makcik Aznah   : Alaa...layak sangatla panggil dia tu perempuan tak pun betina. Dahla kurang ajaq ngan mak bapak dia. Ngan kita lagi. Tak kahwin lagi dah ada anak luaq nikah. huh.

Situasi ini berlaku di kampung saya. Saya terdengar perbualan ini di sebuah kenduri di kampung saya.
Berdasarkan dialog tersebut, saya dapati makcik-makcik ini begitu marah kepada seseorang yang bergelar wanita tetapi digelar sebagai gelaran perempuan ataupun betina.

Saya tertarik dengan isu penggunaan istilah wanita dan perempuan. Pada pendapat saya, kita sebagai insan yang berpendidikan haruslah menggunakan bahasa yang arasnya lebih tinggi berbanding golongan lain yang tidak berpendidikan. Oleh itu, jika ingin merujuk kepada seorang perempuan yang berjaya, kita patut gunakan istilah wanita agar ia lebih menggambarkan kedudukan tinggi yang ada padanya. Hal ini demikian kerana sebelum ini saya sering mendengar istilah perempuan jalang, perempuan sundal dan pelbagai lagi istilah buruk yang dikaitkan dengan perkataan perempuan. Namun, saya juga teringat istilah perempuan ini disebut dengan istilah betina oleh orang Kelantan. Saya masih ingat soalan yang ditujukan rakan yang berasal dari negeri Kelantan.

“Ore jate ko ore tino hok gaduh tu?”

Saya agak keliru untuk menjawab soalannya kerana saya tidak biasa untuk menggunakan istilah betina untuk merujuk perempuan dan akhirnya saya menjawab dengan perkataan “perempuan”. Oleh itu adakah saya menjawab persoalannya?

ULASAN  DAN PENGAJARAN:
Berdasarkan situasi di atas, saya ambil ketiga-tiga perkataan tersebut dan di rujuk maknanya kepada Kamus Dewan. Makna perkataan wanita ialah orang perempuan, menunkukkan sifat-sifat kewanitaan manakal perkataan perempuan merujuk makna lawan laki-laki, yang suka pada laki serta merujuk juga beberapa istilah yang kurang baik. Apabila merujuk kepada makna perkataan betina pula, ia bermaksud panggilan kesat kepada wanita yang kelakuannya menyimpang daripada norma masyarakat. Jelas kita dapat lihat di sini bahawa perkataan yang paling elok untuk merujuk kepada seorang perempuan ialah wanita manakala perkataan yang paling teruk ialah betina.

#24 KESALAHAN HUKUM D-M




Dialog situasi 1 : 
Amira      : “Mak cik, goreng pisang ni seringgit berapa?”  
Penjual    : “Tiga biji seringgit, dik.”

Dialog situasi 2: 
Aznin      : "Tumpang tanya. Mini pasar Kulim dekat mana?" 
Pak Ali   : "Tu ha belah belakang Bank Rakyat tu.''




Situasi 1 berlaku di gerai pisang goreng tepi di kampung saya. Dialog situasi 2 berlaku di kawasan Bandar Kulim. Berdasarkan kedua-dua dialog di atas masih lagi terdapat segelintir masyarakat yang melakukan kesalahan hukum D-M secara sengaja atau tidak sengaja. Walaupun kesalahan ini kita nampak kecil, hakikatnya kesalahan ini amat besar dalam bidang bahasanya. 

Bukan sahaja kesalahan penggunaan hukum D-M dalam percakapan masyarakat malah berlaku juga pada papan tanda dan sebagainya.. Kesalahan hukum D-M yang selalu berlaku dalam masyarakat kita seperti Azizan restoran, goreng pisang, Anita klinik dan sebagainya.

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua.


Kesalahan                                Sepatutnya
Azizan restoran                       Restoran Azizan
Goreng pisang                         Pisang goreng 
Anita klinik                             Klinik Anita
Besar budak itu                       Budak itu besar
Mewah rumah                         Rumah mewah


ULASAN DAN PENGAJARAN :
Hukum D-M adalah Diterang-Menerang

Dalam dialog tersebut, saya dapati bahawa masyarakat yang masih menggunakan hukum D-M yang salah adalah kerana mereka sudah terbiasa menggunakan perkataan tersebut. Dari segi makna, antara pisang goreng dan goreng pisang, kedua-dua ini mempunyai maksud yang berbeza. Pisang goreng membawa maksud pisang yang telah sedia siap digoreng manakala goreng pisang pula ialah ketika pisang itu digoreng. Jadi, kedua-dua perkataan ini telah membawa maksud yang berbeza. 


#23 Bahasa Sindirin





Bahasa Melayu mempunyai pelbagai gaya bahasa menarik yang menggunakan bahasa sebagai alat dalam menyampaikan pandangan terhadap sesuatu perkara. Peranan gaya bahasa ini adalah untuk menyampaikan maksud kepada orang lain baik daripada bentuk lisan mahupun tulisan. Satu daripada contoh gaya bahasa ini adalah bahasa sindiran.


Bahasa sindiran adalah bertujuan menjaga hati orang yang disindir. Hal ini kerana bahasa yang digunakan . Namun terdapat juga bahasa sindiran yang berbunyi agak kasar. Perkataan yang ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada seseorang tanpa disebut atau dinyatakan secara tepat. Sindiran ini hanya disampaikan secara berkias dan tidak dinyatakan secara berterus terang atau tidak terus ditujukan kepada orang tersebut. Orang Melayu terutamanya menggunakan bahasa sindiran ini untuk meyatakan sesuatu yang terbuku di hati atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu secara tidak berterus-terang dan penuh hormat.


Penggunaan bahasa sindiran ini Bahasa sindiran terbahagi kepada tiga :-

i) unsur ironi
Bahasa sindiran unsur ironi ialah bahasa yang menyatakan sesuatu tetapi mempunyai makna di sebaliknya.     Bertujuan untuk menyindir orang lain dan biasanya membawa maksud yang bertentangan dengan maksud ayat tersebut.
contoh:
- buatlah apa yang kau suka, kan kita ni boleh hidup sepanjang zaman.

ii) unsur sarkasme
Bahasa sindiran ini bersifat lebih kasar bahasanya daripada unsur sinisme. Bahasa sindiran unsur sarkasme biasanya dugunakan untuk memarahi seseorang dengan kata-kata yang lebih kasar. Selalunya ia terjadi sewaktu seseorang itu sedang marah.
contoh:
- pergi jahanamlah kamu!, biarlah dia mampus aku tak peduli.

iii) unsur sinisme
Menggunakan bahasa sindiran yang kasar. Bertujuan untuk menyindir dengan kata-kata yang lebih kasar.
contoh:
- jijik aku melihat telatahnya, muntah aku melihat mukamu.





Antara contoh bahasa sindiran adalah seperti berikut :


"Hai, baru ja mula dah penat?"
(Sindiran ini ditujukan kepada seseorang yang cepat letih atau berhenti daripada melakukan sesuatu pekerjaan.)

"Orang yang baik itu adalah orang yang memberi faedah kepada orang lain.."
(Sindiran ini ditujukan kepada orang yang suka menjahati orang lain kerana ingin menyindir perbuatan jahatnya itu.)


ULASAN DAN PENGAJARAN : 

Bahasa sindiran ini sangat baik untuk digunakan bagi menyedarkan seseorang selain tidak memalukan orang tersebut asalkan dengan penggunaan bahasa yang betul. Jika bahasa sindiran ini tidak digunakan dengan cara yang betul, keadaan lebih buruk seperti pergaduhan boleh berlaku kerana tahap penerimaan seseorang terhadap sesuatu perkara itu adalah berbeza antara satu sama lain. Sekiranya kita mahu menggunakan setiap contoh bahasa sindiran ini, kita perlu pastikan bahawa orang yang kita mahu sampaikan bahasa sindiran ini dapat menerima tindakan kita tanpa sebarang prejudis.





#22 Salam, A'kum @ Assalamualaikum.. Yang mana satu ni????




"Salam, makcik..malam ni kami jadi balik kampung"

Berdasarkan dialog dia atas, kita dapat lihat bahawa sudah menjadi 'trends' dalam kalangan masyarakat kita dalam meringkaskan perkataan assalamualaikum. kan??

Pada hari ini, saya telah menerima satu pesanan yang dihantar melalui ruangan mesej di ‘facebook’.  Apakah kesalahan yang terdapat dalam pesanan ini? Kalau kita perhatikan, pesanan ini mengandungi pencampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Selain itu, pesanan ini juga menggunakan singkatan perkataan. Namun, bukan aspek ini yang ingin saya timbulkan. Saya ingin menarik perhatian para pembaca tentang perkataan “Salam”.

Apa yang salah dengan perkataan “Salam”? Perkataan ini sering kali kita gunakan terutama apabila menghantar pesanan ringkas (SMS). Salah satu perkataan lain yang sering kali digunakan ialah “A’kum”. Kedua-dua perkataan ini sebenarnya tidak sesuai untuk digunakan untuk membawa maksud menyampaikan salam.

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah: “Salam (selamat tinggal)”. Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk). (QS. 43:89).

Melalui ayat di atas, dapat kita nyatakan bahawa perkataan “Salam” lebih sesuai untuk menunjukkan selamat tinggal dan bukan untuk membawa maksud menyampaikan salam, iaitu sejahteralah ke atas kamu.

Perkataan “A’kum” pula merupakan perkataan yang sering kali digunakan untuk menghantar pesanan ringkas. Mungkin mengandaikan perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka dipendekkan perkataan ini kepada “A’kum”. Sedarkah kita apakah sebenarnya maksud di sebalik perkataan ini? “A’kum” adalah singkatan kepada “Avde Kokhavim U Mazzalot” yang bermaksud hamba-hamba binatang dan orang-orang sesat. Selain itu, perkataan “A’kum” juga adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi dan untuk orang-orang bukan Yahudi yang bermaksud “Binatang” dalam bahasa Ibrani.

Sunah Rasulullah S.A.W, antaranya tentang bab memberi salam. Baginda memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum” dan menjawab salam dari para sahabat dengan salam yang penuh “Waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh”

Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam”, iaitu sama makna dengan Assalamualaikum. Oleh hal demikian, kita perlulah berhati-hati ketika menggunakan, memilih atau menulis setiap perkataan. Janganlah kita semata-mata menggunakan sesuatu perkataan tanpa mengetahui maksud sebenar di sebalik perkataan itu, sama ada perkataan itu membawa maksud yang baik atau sebaliknya.



ULASAN DAN PENGAJARAN :

Jadi apabila seseorang memberi salam mengucapkan lafaz yang lengkap, maka sepantasnya kita untuk membalas dengan ucapan salam yang lengkap juga.

Perhatian!!
Kesalahan yang sering ditemui dalam pengucapan salam adalah penyingkatan salam dengan tulisan “ass”, “ass.wr.wb”, “asw” atau yang lainnya, maka ucapan seperti ini bukanlah salam, kalau boleh semasa menulis komentar, sms atau media janganlah kita menulis seperti itu. Tulislah dengan lafaz yang benar seperti “assalamu ‘alaikum”. :)

#21 Bahasa Rasmi (Bahasa Malaysia, Bahasa Rasmi Negara?)






Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam situasi yang rasmi, iaitu seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, kehakiman dan sebagainya. Bahasa rasmi boleh jadi bukan bahasa kebangsaan kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang semata-mata dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tiada kaitan dengan semangat kebangsaan. Bahasa rasmi ini kebiasaannya dipilih daripada bahasa penjajah atau bahasa salah satu daripada bahasa negeri dalam negara tersebut. Sebagai contoh, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia kerana bahasa Melayu dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dan dapat difahami oleh semua rakyat.

     Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah ditetapkan menjadi bahasa komunikasi dalam bidang pentadbiran. Mengikut perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa rasmi digunakan dalam semua urusan rasmi sama ada di peringkat persekutuan, kerajaan negeri, dan juga badan berkanun. Malaysia telah menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi di Brunei menggunakan dua bahasa rasmi, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.



Dalam perlembagaan Malaysia, Bahasa Melayu/Bahasa Malaysia diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Ini bermakna segala surat menyurat dan bahasa penghantar adalah dalam bahasa melayu. Tetapi apa yang dapat dilihat sekarang, seolah-olah Bahasa Melayu telah jatuh menjadi bahasa kedua di belakang Bahasa Inggeris.

Terdapat segelintir rakyat Malaysia menganggap bahasa Melayu ni tiada 'standard' sebab banyak menyerapkan perkataan-perkataan dari bahasa lain dan dijadikan bahasa Malaysia. 

Tapi, bila orang Melayu sendiri sudah tidak mahu dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu, apa lagi kaum bukan melayu. Jadi tidak hairan lah jika anda pergi ke bandar-bandar lama atau kawasan-kawasan yang ramai penduduk cina seperti di Kampar, Bidor atau Yong Peng, anda akan jumpa orang cina yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu. Jangan terkejut pula mereka boleh berbahasa Inggeris dengan agak fasih.

Terfikir dalam otak saya, mereka semua ini orang Malaysia atau orang yang 'menyusup' masuk ke Malaysia. Adalah tidak logik jika ada rakyat Malaysia dari kaum bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa Malaysia kerana ianya diajar disemua sekolah di Malaysia. Lagi tidak logik selepas 55 tahun merdeka ada orang muda dari kaum bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa Malaysia berbanding yang sudah berumur. Di mana silapnya.

Bahasa Melayu adalah lingua franca, paling senang nak belajar. Orang Banggla, Myanmar, Vietnam dan Kemboja yang datang bekerja di Malaysia, seminggu sudah boleh berbahasa Malaysia walau pun sedikit tunggang langgang. Kenapa ada rakyat yang lahir di negara ini tidak fasih berbahasa Malaysia?





ULASAN DAN PENGAJARAN :
Secara realitinya, dalam konteks perundangan dan perlembagaan, bahasa Melayu telah kukuh dek kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Secara tersiratnya, bahasa Malaysia seolah-olah hilang upaya untuk bersaing sebagai bahasa ilmu yang terkemuka di dunia. Banyak faktor yang dikesani menjadi penyebab utama akan hal ini.